PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?


PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Tahukah anda Toyota Yaris untuk pasaran ASEAN generasi sedia sudah berada dalam pasaran sejak 2014? Model yang kita terima pada 2019 sebenarnya merupakan model yang telah masuk ke fasa facelift besar pertama yang diperkenalkan pada 2017. Dan berbanding kembar sedannya iaitu Vios yang kini sudah muncul dalam versi generasi baharu menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), hayat Yaris NSP151 ini nampaknya masih lagi panjang.

Ini kerana pasaran hatchback juga sekarang ini semakin mengecil kerana pengguna semakin berminat terhadap SUV, dan sebab itulah untuk model generasi DNGA, Toyota memperkenalkan Yaris Cross terlebih dahulu yang telahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand. Malah ketika Vios NGC120 membuat kemunculan sulung pada 2022, Toyota masih dalam peringkat kajian pasaran untuk menghasilkan Yaris berdasarkan platform DNGA tersebut.

Namun untuk tidak menghampakan peminat-peminat hatchback, Yaris generasi sedia ada masih ditawarkan oleh Toyota di pasaran Asia Tenggara. Jadi untuk pasaran Thailand, Yaris NSP151 diperkenalkan dalam satu lagi versi facelift pada 2023 dengan menerapkan signatur rekaan jerung hammerhead terbaharu Toyota bagi memastikan ia masih relevan.

Untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota nampaknya tiada lagi tanda-tanda untuk memperkenalkan versi facelift tersebut. Namun pada April lalu, Yaris pasaran Malaysia telah pun diperkenalkan dalam satu lagi varian baharu yang dikenali sebagai Yaris G Limited.

Model ini diasaskan dari varian G sedia ada, tetapi menerima beberapa penambahan komponen istimewa dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,600. Seperti namanya, model ini juga dihasilkan hanya terhad sebanyak 600 unit sahaja. Jadi apa beza Yaris G Limited ini dengan Yaris G biasa? Adakah ia seperti kebanyakkan model-model istimewa lain yang hanya menampilkan ‘kejuruteraan sticker‘ sahaja?

PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Pada sebelah luar, memang tiada sebarang tanda bahawa Yaris ini merupakan model edisi terhad. Kit badan, set rim, skema warna semuanya adalah sama sahaja dengan Yaris 1.5 G biasa, kecuali emblem ‘limited’ yang bersaiz kecil ditampal pada pintu tailgate belakang dan juga serlahan warna merah pada splitter bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang.

Jadi sepanjang seminggu penulis bersama kereta ini setiap kali jika ada orang tanya ‘apa beza model limited dengan yang biasa?’ Penulis dengan senyuman akan membuka penutup bonet hadapan sambil menjawab ‘hah, meh sini tengok dalam’.

Perkara pertama yang menonjol pada ruang enjin Yaris G Limited ini adalah sistem kemasukan udara lebih sejuk (cold air intake atau CAI). Berbanding sistem kemasukan asal dengan kotak penapis udara yang terletak berhampiran bateri dan kotak fius, sistem CAI ini menampilkan penapis udara jenis open pod yang dialih ke sebelah kanan enjin yang lebih jauh dengan komponen yang menghasilkan haba seperti manifold ekzos dan kipas radiator.

Walau pun tanpa kotak udara, penapis open pod berkenaan masih diberikan penghadang haba bagi lebih memastikan kawasan sekitar udara yang disedut masuk ke kebuk pembakaran tersebut kurang panas. Secara teorinya, lebih sejuk udara tersebut, lebih tinggi ketumpatan oksigen di dalamnya bagi menghasilkan lebih kuasa kuda pada enjin.

Udara yang disedut tersebut dialir masuk ke unit throttle body menerusi air ramp baharu yang diperbuat dari material aloi, bukan plastik seperti komponen asal. Terdapat satu lagi komponen yang tak dapat dilihat untuk memberikan prestasi lebih baik pada enjin tersebut iaitu unit pengawal pendikit (throttle controller) yang ditala bagi memberikan tujahan pendikit lebih agresif.

Namun dengan beberapa perubahan yang dibuat pada enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i DOHC tersebut, UMW Toyota Motor masih meletakkan angka 107 PS/140 Nm yang tidak berubah pada brosur Yaris G Limited ini.

PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Selepas itu anda tentu akan perasan sebatang tower bar berwarna putih yang dipasang merentangi kedua-dua cagak penyerap hentak hadapan. Bar berkenaan dibuat khas bagi UMW Toyota Motor untuk Yaris ini, dihasilkan oleh jenama tempatan yang kini terjual di pasaran antarabangsa iaitu Ultra Racing.

Bukan ini sahaja produk dari Ultra Racing yang dipasang bagi menguatkan lagi kerangka badan Yaris ini, dan sekiranya anda melihat di bawah lantai kereta anda boleh lihat ia turut dipasang dengan bar pendakap pada bahagian front member dan rear member.

Tak cukup dengan itu, kesemua unit penyerap hentak Yaris G Limited ini juga lain dari Yaris biasa – selain dari secara fizikalnya ia berwarna merah berbanding hitam, talaannya juga adalah lebih keras. Dengan kesemua kelengkapan berbeza ini, sudah tentu rasa memandu Yaris G Limited ini adalah berbeza dari Yaris biasa.

Yaris sememangnya antara hatchback segmen-B kegemaran penulis selepas pertama kali memandunya pada April 2019. Enjin pada Yaris mungkin tidak se’power’ enjin DOHC i-VTEC pada Honda City Hatchback, namun kotak gear CVT pada Toyota ini memberikan rasa yang lebih ‘terus’ dan memberikan rasa tukaran gear maya hampir seperti kotak gear AT jika menggunakan mod manual. Ia juga memberikan rasa pemanduan yang solid dengan NVH yang cukup baik, bersama dinamik pengendalian yang menyeronokkan.

Kelainan pertama yang boleh anda rasa menerusi Yaris G Limited ini adalah pada pedal pendikit. Menerusi pengawal pendikit yang dipasang, pedal pendikit Yaris G Limited ini terasa sangat responsif dan agresif, membuatkan ia rasa ‘terus’ seperti menggunakan kabel.

Dan sistem CAI yang dipadankan juga memberikan bunyi yang agak mengasyikkan – ia masih senyap seperti standard dalam keadaan idling dan kelajuan rendah, tetapi bunyi udara yang seperti berebut-rebut masuk ke dalam enjin mula kedengaran kuat apabila jarum takometer mula mencecah 3,000 rpm dan ke atas.

PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Faktor lokasi baharu penapis udara open pod yang lebih dekat dengan pemandu juga mungkin memainkan peranan mengapa bunyi ini kedengaran jelas. Dan pada pendapat penulis bunyi sedutan udara berkenaan sebenarnya lebih mengasyikkan dari bunyi ekzos bersaiz besar.

Dengan pengendalian asas yang sudahpun cukup baik, pemadanan penyerap hentak lebih keras pada Yaris G Limited ini menjadikan pemanduannya lebih menyeronokkan. Suspensi berkenaan dengan jelas mengurangkan daya olengan badan ketika meredah selekoh dengan kelajuan tinggi. Dan walaupun penyerap hentak tersebut lebih keras dari biasa, ia masih lagi terasa selesa seperti kereta standard, dan tidak melantun-lantun ketika melalui permukaan tidak rata serta beralun.

Dengan angka kuasa atas kertas yang masih tidak berubah, jangan lah pula anda anggap Yaris G Limited ini boleh menang jika ada Honda City ajak beradu di lampu isyarat. Walaupun bunyi dihasilkan pada enjin agak garang, ia masih terasa lambat ketika memecut.

PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Tetapi lain ceritanya kalau anda bawa Yaris G Limited ini di jalan berliku. Sudah tentu dengan penambahan pelbagai bar dari Ultra Racing yang menjadikan badan kereta ini lebih keras dan juga suspensi yang lebih sporty, ia memberikan respon stereng dan juga kestabilan yang lebih baik ketika anda melayan selekoh.

Tidak cukup dengan itu, respon dari pedal pendikit dan juga bunyi enjin juga menambah keseronokan ketika anda memandu dalam situasi sebegini kerana kelajuan kereta boleh dikawal dengan lebih tepat. Ditambah dengan kotak gear CVT dengan mod manual yang cukup baik, Yaris G Limited ini cukup untuk membuat anda tersenyum ketika melayan touge.

Seperti yang diberitahu tadi, Yaris G Limited ini masih berkongsi kelengkapan yang sama seperti Yaris G biasa. Jadi ia menerima kelengkapan standard lain seperti lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang halogen, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 16-inci,cermin hadapan akustik, penderia parkir hadapan dan juga brek cakera belakang.

Dalam kabin, ia diberikan meter Optitron dengan skrin pelbagai info 4.2-inci, roda stereng yang dibalut kulit bersama pedal penukar gear, port USB type C untuk penumpang belakang, tempat duduk fabrik, kamera perakam digital (dashcam) hadapan, tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, enam pembesar suara dan cermin pandang belakang elektrokromik.

Untuk keselamatan pula, model ini datang dengan Sistem Telematik Kenderaan (VTS), kunci automatik berdasarkan penderia kelajuan, tujuh-beg udara, penderia parkir belakang, VSC, Traction Control, sistem brek ABS dan EBD serta BA, dan bantuan mula mendaki.

Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) juga turut diberikan, menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang serta kamera pemantau panaromik 360-darjah.

PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

Berbanding Yaris G standard yang berharga RM91,600, model edisi terhad ini nampaknya adalah RM8,000 lebih mahal selepas dipadankan pelbagai peralatan prestasi tersebut. Adakah ia berbaloi? Memang komponen-komponen tambahan tersebut boleh anda pisang sendiri diluar, tetapi faedah yang anda dapat sekiranya memilih model yang datang dengan peralatan tersebut dari bilik pameran adalah perlindungan waranti.

UMW Toyota memberikan waranti selama setahun atau 20,000 km untuk kesemua komponen prestasi tambahan ini, dan ia tidak menjejaskan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Jika anda buat ubahsuai sendiri Yaris G yang baru dibeli contohnya memandankan sistem CAI dan juga pengawal pendikit, ada kemungkinan waranti pengilang lima tahun tersebut akan terbatal jika sesuatu terjadi pada enjin.

Jadi dengan harga yang tidak sampai RM100k, anda yang mungkin sedang mencari sebuah hatchback baharu yang sporty, tetapi masih tidak mampu untuk membeli hot-hatch sebenar seperti Suzuki Swift Sport, mungkin boleh mempertimbangkan Toyota Yaris G Limited ini. Ya, memang la Yaris ni tak laju macam Swift Sport, tapi kena la dengan harganya kan?

Lagipun harga yang ditawarkan ini masih lagi lebih rendah berbanding Honda City Hatchback bukan hibrid dalam varian paling sporty dengan iaitu City Hatchback RS – dijual pada harga RM100,900 dengan peningkatan kosmetik semata-mata berbanding varian lain.

Tapi bagi penulis, UMW Toyota mungkin boleh memberikan beberapa lagi perincian lebih unik pada Yaris G Limited ini untuk memberikan rupa yang lebih eksklusif seperti plat nombor siri yang dilekat pada papan pemuka, dan juga beberapa perincian luaran seperti bampar hadapan dan juga rim aloi 17-inci yang diambil dari Vios GR Sport sebelum ini

Bukan apa, bagi la sedikit kredit untuk pemilik yang membeli model ini, bagi dia boleh tunjuk pada orang ramai bahawa model yang dibeli tersebut bukan model biasa-biasa kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link

Content Disclaimer and Copyright Notice
Content Disclaimer

The content provided on this website is sourced from various RSS feeds and other publicly available sources. We strive to ensure the accuracy and reliability of the information, and we always provide source links to the original content. However, we are not responsible for the content’s accuracy or any changes made to the original sources after the information is aggregated on our site.

Fair Use and Copyright Notice

This website may contain copyrighted material, the use of which has not always been specifically authorized by the copyright owner. We believe this constitutes a “fair use” of any such copyrighted material as provided for in section 107 of the US Copyright Law.

In accordance with Title 17 U.S.C. Section 107, the material on this site is distributed without profit to those who have expressed a prior interest in receiving the included information for research and educational purposes. If you wish to use copyrighted material from this site for purposes of your own that go beyond fair use, you must obtain permission from the copyright owner.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *